Saturday, March 18, 2017

Bisnes itu bakat atau boleh dipelajari?

Dialog yang biasa kita dengar di kalangan orang awam berkaitan bisnes antaranya ialah "awak tak boleh berbisnes sebab awak bukan orang bisnes".

Nasihat begini biasa diberikan orang orang yang tidak berbisnes kepada rakan atau ahli keluarganya yang berhajat memulakan bisnes.

Dan ia juga pernah dikatakan kepada saya sendiri.

Hujah mengapa dialog ini diungkapkan ialah bisnes adalah satu dunia lain, susah, sukar, penuh risiko dan cabaran.

Hanya individu tertentu yang ada ciri-ciri tertentu sahaja yang boleh berniaga.

Saya terfikir, adakah bisnes itu satu bakat yang dikurniakan Allah kepada seseorang, tidak pada orang lain, atau ia adalah satu kemahiran atau ilmu yang boleh dipelajari?

Dalam bahasa lain, ia disebut sama ada mauhabah atau muktasabah?

Mauhabah bererti satu perkara yang dianugerahkan oleh Allah manakala muktasabah pula satu perkara yang boleh diusahakan, sama ada dengan ilmu, pendedahan, latihan dan sebagainya.

Hasil perkongsian dengan seorang kenalan yang baru beberapa tahun berbisnes, katanya sebelum berniaga, dia memang tidak tahu langsung berniaga.

Apabila keadaan mendesak, dia belajar mencari ilmu, menghadiri bengkel dan seminar selama setahun. Semuanya kena belajar.

Banyak lagi diceritakan beliau dan kesimpulan yang saya dapat ialah bisnes ini adalah satu perkara muktasabah. Boleh diusahakan.

Ertinya sesiapa pun boleh berbisnes tetapi bagaimana tahap kejayaan bisnes itu bergantung kepada peniaga itu sendiri, maju hebat atau sekadar kecil-kecilan.

No comments:

Post a Comment