Sunday, January 29, 2017

Pelanggan perlu ditapis

"Lebih baik kita rugi sedikit daripada rugi banyak."

Ini pesan coach saya. Katanya, daripada ambil pelanggan yang tidak berkualiti, lebih baik kereta kita duduk diam di tempat parkir tidak disewa oleh sesiapa.

Pelanggan yang tidak berkualiti, atau pelanggan murahan, tidak akan menghargai perkhidmatan yang kita berikan.

Selagi ada peluang untuk menipu dan mengambil kesempatan, maka dia akan melakukannya.

Dia tak ambil peduli perasaan kita. Yang dia tahu, hanya kepuasan diri.

Hasil sikap begitu, maka kita dapat lihat apabila kereta dipulangkan, akan berlaku beberapa perkara yang menyakitkan hati kita.

Antaranya:

1. Kereta dipulangkan lewat daripada masa ditetapkan. Ketika ini, wang deposit memainkan peranan. Kita ambil sahaja sebagai denda kelewatan.

2. Terdapat bau dan habuk rokok dalam kereta. Ini juga kita denda dengan duit deposit.

3. Minyak kereta habis sampai simbol minyak menyala di papan dashboard. Ini pun kita boleh denda.

4. Kereta ada kesan calar sini dan sana.

5. Ada kotoran dalam kereta.

6. Dan sebagainya yang menyakitkan hati kita.

Antara penyelesaian yang perlu dibuat ialah:

1. Mengambil sejumlah duit deposit.

2. Menetapkan syarat dan peraturan sewaan. Ambil masa sedikit untuk menjelaskan perkara ini ketika hendak pas kunci kereta.

Peraturan inilah yang perlu dipersetujui dan jika dilanggar kita boleh kenakan denda.

3. Menapis pelanggan anda. Pilihlah yang betul-betul berkualiti. Jangan main ambil saja, sebab nak kejar sasaran kutipan jualan. Kelak kita yang akan sakit hati dan terpaksa melakukan itu dan ini.

Sekian sahaja perkongsian saya kali ini.

Semoga bermanfaat.

Friday, January 27, 2017

Jangan menipu

Ada seorang pelanggan berkongsi pengalaman bekerja di bengkel.

Sekarang dia bekerja di tempat lain.

Dia tahu mana nak dapat harga murah untuk barang-barang ganti kereta seperti minyak hitam.

Dia cerita apa yang saya mahu dengar.

Barangkali saya boleh jimatkan kos servis kereta jika minta dia uruskan. Berbanding dengan bengkel biasa yang mana harganya lebih mahal mengikut harga pasaran.

Tapi dia cerita juga dia pernah mengkhianati majikannya (tauke kedai) dengan membuat jualan tepi tanpa pengetahuan majikan.

Ada dua alasan; pertama kerana majikannya kedekut dan tidak pernah mengambil berat masalah dirinya dan pekerja lain.

Kedua kerana dia mahu membuat 'duit tepi'. Dan dia tahu cara-cara elak dikesan majikan hasil tunjuk ajar pekerja lain yang lebih senior.

Saya tahu dia ada kepakaran untuk membaiki kereta dan tahu cara mencari barang gantian dengan harga murah.

Dan dia tawarkan kepada saya untuk menghubunginya jika mahu servis kereta dalam kos yang minimum.

Masalahnya dia pernah menipu majikannya sebelum ini.

Jika pembaca sekalian berada di tempat saya, adakah anda akan menggunakan perkhidmatannya?

Saya sendiri sudah ada jawapan.

Sekian, terima kasih.

Nota: Islam tidak mengajar umatnya menipu dan mengkhianati orang lain. Dua sifat ini adalah ciri orang munafik.

Layanan VIP

Pelanggan adalah antara yang utama dalam perniagaan.

Dengan kewujudan pelanggan, kita dapat membuat jualan sama ada jualan barang mahupun perkhidmatan.

Peniaga mesti memiliki ilmu menjual dan ilmu memasarkan.

Ilmu memikat pelanggan juga satu yang wajib dimiliki.

Pelanggan akan 'sangkut' jika ada kepercayaan dan nilai tambah.

Juga jika murah.

Juga ketika pelanggan rasa dilayan seperti VIP.

Rasa dihormati, diutamakan, dianggap berduit dan dimudahkan segala urusan.

Itulah perasaan kita sewaktu kita menjadi pelanggan di tempat lain. Bank, restoran dan sebagainya.

Sekiranya pelanggan betul-betul rasa dihargai, insya-Allah selepas ini dia tidak akan teragak-agak untuk menjadi pelanggan kita untuk kali kedua dan seterusnya.

Sekiranya pelanggan rasa sebaliknya, logiknya dia tidak akan mencari kita lagi.

Kesimpulannya, fahamilah apa yang dikehendaki oleh pelanggan apabila berurus niaga dengan kita.

Untuk tempahan kereta sewa, hubungi saya (Firdaus) di talian 011-11444212.

ATAU

Terus isi borang tempahan di:
www.carrentalampang.com/bookingform

Saturday, January 21, 2017

Ikut prosedur

BAGI memantapkan sistem perniagaan, kita sentiasa memperbaiki dari satu masa ke satu masa.

Terdapat prosedur kerja (SOP) yang kita gariskan dan ia seharusnya dipatuhi.

Kadang-kadang, ada keadaan yang menyebabkan kita lebih cenderung untuk melanggar SOP yang kita sendiri tetapkan.

Ada juga orang yang telah berjaya mencadangkan supaya 'break the rules' dalam maksud, dalam sesetengah keadaan, tak perlu nak ikut sangat peraturan.

Kita dapat faham bahawa ia boleh dilakukan dengan syarat dalam keadaan terkawal dan tidak memberikan ancaman kepada perniagaan.

Mengikut pengalaman saya setakat ini, ada ketika saya melanggar peraturan dan prosedur dalam keadaan sedar akan masalah yang bakal berlaku dan saya sedia menanggung risiko.

Setakat ini Alhamdulillah tiada perkara besar berlaku.

Dalam sesetengah keadaan pula, saya terpaksa menuruti prosedur kerana saya tidak berasa yakin akan selamat jika saya melanggar prosedur.

Biasanya kita sengaja langgar prosedur kerana kita mahu mendapatkan pelanggan.

Contohnya, saya menetapkan peraturan bahawa saya tidak akan memberi sewa kenderaan kepada pelajar universiti atas alasan mereka tidak akan mampu membayar amaun besar jika berlaku sesuatu masalah.

Tapi dalam sesetengah keadaan, saya ambil juga pelanggan di kalangan pelajar. Itupun selepas saya teliti betul-betul gaya pelajar itu, meyakinkan atau tidak.

Saya dapat 'membaca' sikap dan keperibadian seseorang melalui cara komunikasi, bahasa yang digunakan, cara berfikir dan lain-lain yang dapat dilihat secara luaran.

Kita boleh tahu seseorang itu meyakinkan, matang atau kebudak-budakan.

Dari situ kita akan membuat keputusan sama ada mahu meneruskan urus niaga atau tidak.

Pesanan saya, kadang-kadang kita boleh langgar peraturan yang kita cipta sendiri, tapi dengan syarat yang ketat dan sanggup menerima risiko yang ada.

Sekian terima kasih.

Jika anda mahu menyewa kereta, hubungi saya di talian 011-11444212

ATAU terus mengisi borang tempahan online di www.carrentalampang.com/bookingform

Wednesday, January 18, 2017

Rajin Berusaha

Baru-baru ini, saya menaiki Uber ke satu tempat.

Pemandunya adalah seorang lelaki Cina yang sudah berumur.

Dia adalah seorang pembuat studio untuk penggambaran.

Banyak projek dia dapat sebelum ini.

Tapi dia terpaksa mengisi masa lapang dengan memandu Uber kerana projek membuat studio makin berkurangan.

Saya sempat bertanya dia, apakah rahsia kejayaan orang Cina berniaga?

Dia jawab ada dua perkara.

Pertama, kena rajin.

Kedua, kena ramai kawan.

Saya akui rajin adalah satu kunci kejayaan.

Orang malas tidak akan pernah berjaya dan tidak akan mendapat peluang untuk berjaya.

Ada seorang pelanggan saya dari Lahad Datu, Sabah.

Kerjanya membuat penyelenggaraan di kilang-kilang Felda seluruh Malaysia.

Dia menyewa kereta saya kerana keretanya rosak.

Dia mahu segera ke KLIA untuk mengambil 7 pekerja baru yang baru tiba dari Lahad Datu.

Dia kata, dia terpaksa ambil orang Sabah sebagai pekerja kerana orang Melayu Semenanjung bekerja ikut masa.

Pukul 9 pagi sampai pukul 5 petang. Itu sahaja. Selepas pukul 5 petang, mereka balik.

Berbeza dengan orang Sabah. Selain tahan lasak, mereka juga bekerja mengikut kerja.

Mereka takkan berhenti selagi belum siap.

Kalau dapat kerja yang perlu disiapkan dalam tempoh 10 hari, mereka akan bekerja keras siang dan malam untuk siapkan dalam tempoh 6 hari. Baki 4 hari mereka akan berehat.

Itu cara kerja mereka, kata pelanggan saya.

Apa perkara utama yang ingin saya sampaikan di sini ialah kerajinan kunci kejayaan.

Perkara kedua yang diceritakan oleh pemandu Uber tadi ialah ramai kenalan.

Cara untuk ramai kenalan ialah belanja makan.

Dia kata, orang Cina suka belanja orang lain makan.

Untuk dapat sesuatu projek di jabatan kerajaan, peniaga Cina akan cuba untuk kenal semua kakitangan jabatan, dari atas sampai bawah.

Cara mudah untuk kenal semua ialah dengan belanja makan.

Dia kata, mungkin undang-undang (atau orang Islam) anggap tindakan itu sebagai memberi rasuah.

Tapi bagi orang Cina, itu biasa saja sebab nak kenal semua orang.

Apabila sudah kenal, senang dapat projek.

Bagi saya, dua tips ini (rajin dan kenal ramai orang) memang tips yang terbaik.

Sebagai usahawan, kita kena rajin dan buka ruang lingkup kenalan kita.

Tapi janganlah cuba-cuba memberi rasuah.

Sekian, terima kasih.

Untuk tempahan kereta sewa, hubungi saya terus di talian 011-11444212.

Atau layari www.carrentalampang.com