Tuesday, May 23, 2017

Bila nak berhenti kerja dan buat bisnes fulltime?

Soalan ini sering bermain di fikiran saya. Saya masih belum menemui jawapannya.

Tapi saya sudah membuat keputusan untuk tidak berhenti kerja dalam masa terdekat.

Alasannya ialah saya tidak memiliki simpanan mencukupi iaitu 6 bulan jumlah perbelanjaan.

Sebentar tadi saya bersembang dengan seorang sifu, Tuan Zawawi dari Unirazak.

Saya berkata padanya: Saya masih belum cukup jiwa usahawan. Saya tak berani terjun bisnes sepenuh masa. Sebabnya, saya masih suka dengan kerja saya sekarang.

Apa jawab beliau?

Saya coretkan di sini isi penting perkongsian beliau berkenaan tajuk ini ketika menjawab soalan saya:

1. Selagi bisnes tidak mengganggu kerja asasi (kerja makan gaji) kita, teruskan berbisnes.

2. Bangunkan bisnes perlahan-lahan. Slow and steady. Be different from others. Fokus pada pelanggan. Beri perkhidmatan terbaik.

3. Bangunkan bisnes sampai bisnes boleh membayar gaji kita dua kali ganda daripada gaji kita sekarang.

4. Tuan Zawawi berkata, walaupun beliau masih bekerja sebagai pensyarah, beliau sedang berusaha memajukan bisnes sehingga boleh menampung keperluan bulanan sekarang.

Contohnya, kalau perbelanjaan sekarang RM10,000 sebulan, maka bisnes beliau perlu membayar RM10,000 setiap bulan atau lebih apabila beliau telah bersara nanti.

Jika bisnes hanya beri pulangan RM5,000 sebulan, maka beliau akan pening kepala untuk mencari lagi RM5,000.

Itu sahaja perkongsian saya setakat ini. Kongsikan untuk manfaat bersama.

---
Jika anda berminat menyewa kereta Viva, Myvi dan Alza, hubungi Firdaus di talian 011-11444212

Atau

Isi borang tempahan atas talian di pautan:
www.carrentalampang.com/bookingform

Sunday, May 21, 2017

Kira-kira untung rugi bisnes kereta sewa

Dalam setiap perniagaan, mesti ada untung dan rugi.

Bagaimanakah pula dengan bisnes kereta sewa? Berapa banyak untung, berapa banyak rugi? Macam mana nak kira?

Berikut saya kongsikan kira-kira untung rugi:

1. Jualan (nama lainnya sales, turn over, revenue. Ertinya duit masuk)
1 kereta RM1,500 (kita ambil contoh Myvi kalau disewa 10-13 hari sebulan)

2. Kos jualan (duit keluar)
Bayar loan bank Myvi RM500 sebulan

3. Untung kasar (jualan tolak kos jualan)
RM1,000 sebulan.
Ini hanya untung kasar. Bukan 100 peratus kita dapat. Ada banyak lagi kos lain kena tolak.

4. Kos-kos lain.
- gaji (kalau jika kerja dengan orang, mesti kita nak gaji kan. Begitu juga kalau kerja sendiri)
- marketing (macam mana nak dapat sales kalau tak buat marketing. Marketing ada online, ada offline. Marketing di FB, boleh jadi tanpa kos, boleh jadi ada kos apabila kita buat FB Ads)
- bil telefon (kita deal dengan pelanggan, dia call kita, kita call dia balik, balas mesej dia, semua ni ada kos)
- basuh kereta (sebelum pas kereta kepada pelanggan, kereta mesti bersih dan wangi.)
- maintenance kereta (tukar minyak hitam dan lain-lain sebulan sekali jika dah sampai masanya)
- dan banyak lagi kos lain.

Senaraikan dengan lengkap dan tolaklah daripada untung kasar RM1,000 tadi.

Berapakah untung bersih untuk syarikat kita?

Apabila dah dapat jumlah untung bersih, 100 peratus di tempat selamat. Atau gunakan sebahagian untuk keperluan lain bagi memastikan perniagaan berjalan dengan baik.

Simpanan bulanan kita tu simpan betul-betul untuk kembangkan perniagaan.

5. Kalau sales kita tak cukup RM1,500 sebulan, tolak dengan kos jualan dan kos lain, boleh jadi kita tak dapat untung bersih. Dalam keadaan ini, terimalah kenyataan bahawa kita mengalami kerugian.

Bagaimanakah nak mengelak kerugian lebih besar?

Cut cost lah. Potong kos-kos yang boleh dipotong. Potong gaji kita ke, potong kos basuh kereta ke, gantikan dengan basuh sendiri, jadilah zero kos, dan lain-lain.

Kalau dah tiap bulan tak balik modal dan asyik rugi, ataupun untung bersih tak seberapa, maka kita kena kaji balik di manakah silap kita.

Cara paling mudah untuk elakkan kerugian ialah tingkatkan sales. Macam mana? Kita sambung dalam artikel lain.

Sekian saja perkongsian saya kali ini.
Jumpa lagi akan datang.
Kongsikan artikel ini jika bermanfaat.

---
Jika anda ingin menyewa kereta, hubungi Firdaus di talian 011-11444212

Atau

Isi borang tempahan online di pautan berikut:
www.carrentalampang.com/bookingform

Sunday, May 14, 2017

Tips Memilih Syarikat Kereta Sewa

Bismillah.

Macam biasa, sebelum kita berbelanja terutama pada perkara berkos tinggi, sudah pasti kita akan membuat penyelidikan ringkas.

Ya lah, kalau nak beli baju pun, kena ukur di badan sendiri, sesuai atau tidak. Kalau tak, hmm, membazir lah jawabnya. Bazir masa kena datang semula ke kedai untuk menukar saiz lain, atau meminta wang dikembalikan.

Bagaimanakah pula dengan perkhidmatan sewa kereta? Apakah aspek yang perlu diselidik dan dititikberatkan?

Berikut saya senaraikan beberapa tip bagi memudahkan anda membuat keputusan syarikat mana satu yang akan dipilih.

1. Lokasi
Lagi dekat dengan kediaman anda, lagi baik. Mudah anda ke lokasi untuk mengambil kereta. Mudah juga bagi pihak syarikat menghantar kenderaan ke rumah anda. Kalau jauh, macam mana? Bazir masa dan tambang Uber.

2. Kereta baru atau kereta lama
Sudah semestinya kita mahukan kereta terbaik bagi mengelakkan masalah ketika sewaan berlangsung.
Kereta lama (tak berapa baru) jika diservis dengan baik mengikut jadual, risiko rosak ketika sewaan akan berkurangan.
Kereta baru pula, faham-fahamlah, mesti puas hati.
Kalau kereta lama, kita boleh cuba minta harga lebih murah.

3. Syarat dan peraturan
Baca dan teliti syarat-syarat yang ditetapkan. Ia penting bagi mengelakkan tiada siapa pun yang dinafikan hak sama ada penyewa atau syarikat pengusaha kereta sewa.
Lagi terperinci lagi bagus.

4. Harga
Ini bergantung kepada bajet anda sendiri. Jika bajet ciput, maka sesuailah dengan jenis kereta yang ada. Kalau nak dapat kereta mewah, kereta baru, kereta import, mungkin tak dapatlah dengan harga yang kita mahu.
Jika kita menyewa untuk tempoh lama, melebihi dua atau tiga hari, cubalah berunding bagi mendapatkan harga istimewa.
Mesti dapat punya.
Hal ini kerana kebanyakan pengusaha kereta sewa akan mendapat lebih keuntungan jika kereta disewa lebih banyak hari.
Walaupun harga jatuh sedikit, tapi ia lebih baik daripada membiarkan kereta tersadai di tempat parking tanpa disewa.

5. Kecemasan
Jika berlaku kecemasan, apakah jaminan yang boleh disediakan oleh pihak syarikat? Seeloknya, perlu ada bantuan 24 jam sehari di seluruh Malaysia. Nak hebat lagi, cari yang ada tukaran kenderaan jika kereta yang disewa menghadapi masalah.
Tak semua syarikat ada kemudahan ini, yang ada pastinya syarikat-syarikat besar.

6. Perundangan
Seeloknya kita memilih syarikat berlesen dan permit.
Lesen yang dimaksudkan ialah lesen kereta sewa daripada Kementerian Pelancongan.
Permit pula ialah permit kenderaan daripada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).
Ia penting jika berlaku kes-kes yang tidak diingini melibatkan pihak polis dan pihak insuran.
Dan sudah tentu tak semua syarikat memiliki lesen.
Banyak syarikat kereta sewa berdaftar dengan SSM tapi tak semua memiliki lesen.
Ada beza tu ya.

Setakat ini dahulu perkongsian saya.
Jumpa lagi di lain waktu.
Silakan share artikel ini untuk manfaat semua.

---
Jika anda berminat menyewa kereta, hubungi Firdaus di talian 011-11444212 atau terus sahaja mengisi borang tempahan di pautan berikut:
www.carrentalampang.com/bookingform

Monday, May 8, 2017

Persediaan Berniaga Sepenuh Masa

SATU hari, fikiran saya buntu. Asyik memikirkan soal bisnes fulltime. Lama saya fikirkan.

Nak berhenti kerja atau tidak? Bila nak bisnes sepenuh masa?

Kalau berhenti, saya boleh fokus berniaga. Bebas.

Tapi adakah saya yakin dengan perniagaan sekarang? Bolehkah ia menggantikan sumber pendapatan saya sekarang secara makan gaji?

Saya buntu dan tak tahu nak buat apa.

Sehinggalah pada satu hari, saya berpeluang menghadiri satu kursus berkenaan akaun syarikat. Saya memanfaatkan peluang yang ada untuk bertanya kepada penceramah mengenai perkara yang membingungkan saya iaitu bisnes fulltime.

Ada beberapa perkara penting yang beliau ajar saya sebagai panduan membuat keputusan berniaga sepenuh masa:

1. Kira berapa perbelanjaan bulanan saya. Kira adakah pendapatan bisnes mampu menampung perbelanjaan bulanan itu.
Sekiranya bisnes 'teruk', adakah perbelanjaan bulanan saya masih terjamin?

2. Kumpul dana kecemasan sebanyak 6-12 bulan jumlah perbelanjaan bulanan.
Kira sendiri adakah kira sudah memiliki simpanan sebanyak itu.
Contohnya, jika perbelanjaan bulanan kita RM3,000, maka kita memerlukan RM18,000 untuk menampung perbelanjaan selama 6 bulan, dan RM36,000 untuk 12 bulan.

Inilah persediaan kita bagi menghadapi risiko yang boleh dijangka lebih awal. Calculated risk.

Usahawan perlu mengambil risiko tapi risiko yang diambil adalah risiko yang sudah pun dikira.

3. Cash flow forecast bisnes untuk tahun.
Kira-kira aliran tunai untuk setahun ini perlu dilakukan.
Ia sebagai panduan adakah bisnes kita mampu mendatangkan pendapatan kepada kita dengan cukup.

Jika kita mahukan gaji RM3,000 sebulan bagi menampung perbelanjaan bulanan, adakah bisnes kita mampu memberikan kita gaji sebanyak itu setiap bulan?

Berapakah sales yang diperlukan untuk syarikat membayar gaji kita dan kos-kos lain selain simpanan syarikat untuk lebih berkembang akan datang?

Jika sales tak sampai sasaran, siapa akan bayar gaji kita? Di sini pentingnya simpanan 12 bulan yang saya sebut di atas.

Setakat ini dahulu perkongsian saya berkenaan tajuk ini.

Sekian, terima kasih.